KUALA LUMPUR: Menyakitkan mata! Itulah yang dapat digambarkan terhadap tingkah laku biadab segelintir remaja yang beraksi mesra tanpa segan silu di sekitar Taman Menara Berkembar Petronas (KLCC) terutama pada hujung minggu.
Malah, kawasan rekreasi Taman KLCC yang terkenal di kalangan pengunjung sebagai lokasi bersantai bersama keluarga dan menikmati pemandangan indah menara KLCC kini tercemar dengan kegiatan 'terlampau' segelintir remaja.
Tinjauan Harian Metro mendapati segelintir remaja tempatan dan orang asing yang dipercayai warga Indonesia menjadikan kawasan rehat di sekitar taman itu sebagai tempat memadu kasih tanpa menghiraukan orang sekeliling yang beriadah.
Pengunjung, Sofleyna Mohd Saleh, 32, berkata perbuatan kurang sopan di kalangan muda mudi yang tanpa segan silu 'menunjukkan kasih sayang dan rindu dendam' di khalayak umum begitu memalukan serta menjelekkan mata memandang.
"Lebih menyedihkan kerana kebanyakan remaja yang melakukan perbuatan ini bertudung dan tanpa rasa bersalah berpelukan serta bercumbuan dengan pasangan masing-masing.
"Sudahlah lokasi 'aktiviti' mereka ini berdekatan masjid, mereka langsung tidak rasa bersalah melakukan perbuatan tidak senonoh. Setidak-tidaknya mereka perlu menghormati rumah ibadat tambahan pula ramai di kalangan pengunjung membawa bersama anak-anak kecil," katanya.
Katanya, individu yang melakukan perbuatan kurang sopan di tempat awam seharusnya dikenakan tindakan sewajarnya kerana ia boleh mempengaruhi orang lain melakukan perbuatan sama, khususnya remaja yang gemar mencuba sesuatu yang baru.
Bagi Zainan Samingan, 41, perbuatan segelintir remaja Melayu beragama Islam melakukan aksi mesra di khalayak umum seakan menjadi kebiasaan (trend) masa kini dan tidak menolak terdapat jurang yang ketara antara remaja dulu dan sekarang.
"Nilai sebagai seorang Islam sudah jauh dipinggirkan dan ditolak tepi semata-mata memenuhi tuntutan nafsu. Perkara ini harus dibendung kerana jika terus dibiarkan dikhuatiri bakal meruntuhkan akhlak remaja dan nilai jati diri lebih-lebih lagi yang beragama Islam," katanya.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar