SABAK BERNAM: Perbuatan pasangan kekasih memadu asmara tanpa segan silu di pondok sekitar Dataran Rakyat, Taman Berjaya di sini amat dikesali kerana ia bukan saja tidak elok dipandang, malah menjadi contoh tidak baik kepada kanak-kanak yang bermain di dataran itu.
Kegiatan tidak sopan yang sering dilakukan muda-mudi dari luar kawasan pada waktu petang dan malam itu mendatangkan rasa tidak senang penduduk kerana ia memalukan mereka apabila menjadi buah mulut orang ramai.
Kebanyakan pasangan yang memadu kasih di situ terdiri daripada golongan remaja ‘mat motor’ atau pelajar kolej berhampiran yang sering bergurau senda dengan pasangan serta berpelukan tanpa menghiraukan orang awam yang lalu-lalang.
Malah, penduduk pernah cuba menasihati pasangan yang berasmara di situ tetapi kerana ketakutan, mereka tergesa-gesa melarikan diri tanpa sempat memasang tali pinggang dan zip seluar.
Penduduk, Mahiran Tukimin, 60, berkata perlakuan sumbang itu sudah lama mencemar nama baik taman itu serta kesucian agama Islam dan berharap pasangan kekasih yang gemar berbuat demikian segera menghentikannya.
“Saya dan seorang rakan pernah menghampiri pasangan yang asyik bercumbu. Ketika itu mereka serta-merta menjarakkan diri antara satu sama lain tetapi selepas kami beredar tidak sampai 50 meter, mereka bercumbuan semula,” katanya.
Mahiran berkata, kegiatan sumbang itu kadangkala berlarutan sehingga tengah malam dan awal pagi seolah-olah mereka tidak peduli jika ada sebarang serbuan atau tindakan undang-undang yang mungkin dikenakan terhadap mereka.
Penduduk, Ahmad Alfiz Md Muklas, 23, pula berkata perlakuan menyakitkan mata itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini mungkin kerana kurangnya pemantauan pihak bertanggungjawab terutama jawatankuasa masjid.
Beliau berharap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) khususnya jawatankuasa Masjid Hishamuddin, Sabak Bernam lebih peka terhadap perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasinya.
“Saya berharap dengan tersiarnya berita ini, pihak yang melakukan perkara tidak sopan ini dapat menghentikan kegiatannya, manakala jawatankuasa masjid akan lebih prihatin dan ibu bapa sentiasa memantau kegiatan anak masing-masing,” katanya.
Tinjauan Sentral di taman itu mendapati segala kemudahan rekreasi seperti taman permainan kanak-kanak, gelanggang bola keranjang, bola jaring, sepak takraw, laluan larian, padang rumput dan pondok berehat disediakan dengan sempurna untuk kegunaan penduduk.
Penyalahgunaan kemudahan itu amat dikesali dan ia dijangka bertambah melarat pada masa depan jika tidak dibendung segera.
Browse: Home > Moralitas > Pasangan berkhalwat lari tak sempat nak zip seluar
Sabtu, 30 Januari 2010
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar