Browse: Home > ISA > Memahami Kekejaman ISA (bag 3)
Sabtu, 02 Januari 2010
Memahami Kekejaman ISA (bag 3)
DARI MANA DATANGNYA PENAHANAN TANPA BICARA?
Nama-nama yang Manis
Pihak yang menjalankan penahanan tanpa bicara memberi nama yang manis-manis untuk menutup kejelekan perbuatan mereka.
Penahanan seumpama ini dinamakan sebagai penahanan bagi pencegahan atau preventive detention.
Istilah penahanan perlindungan juga digunakan bagi menggambarkan bahawa penahanan seumpama ini adalah bagi tujuan melindungi rakyat dan negara ini daripada angkara perbuatan yang mengancam keselamatan negara.
Istilah preventive detention (dibaca: penahanan tanpa bicara) bersumber daripada sebutan yang digunakan oleh para hakim di Britain bagi menjelaskan bentuk penahanan yang dilakukan semasa tercetusnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914.
Tujuan penahanan seumpama ini adalah untuk menghalang seseorang itu berkomunikasi dengan musuh dan mencegahnya daripada memberi pertolongan kepada musuh.
Sumber Terciptanya Istilah Penahanan Tanpa Bicara
Lord Finlay dalam kes Rex v. Halliday mengatakan bahawa: “(preventive detention is not) punative but precautionary”.
Lord Atkinson pula mengatakan: “(preventive detention is for) restraining a man from committing a crime he may commit but has not yet committed, or doing some act injurious to members of community which he may do but has not yet done”.
Tujuan penahanan seumpama ini bukanlah untuk menghukum seseorang kerana telah melakukan sesuatu.
Tetapi tujuannya adalah untuk mencegah orang tersebut sebelum ia melakukan sesuatu dan menghalangnya daripada melakukan perbuatan tersebut.
Tiada sebarang kesalahan perlu dibuktikan dan tiada pendakwaan perlu dikemukakan.
Justifikasi terhadap penahanan seumpama ini hanyalah berdasarkan rasa syak bahawa berkemungkinan besar orang tersebut akan melakukan sesuatu tindakan.
Mahkamah Agung India pada tahun 1974 mentakrifkan: “(preventive detention as an) anticipating measure to prevent the commission of an act”.
Di negara ini penahanan bagi pencegahan (dibaca: penahanan tanpa bicara) dianggap bukan sebagai hukuman tetapi semata-mata sebagai satu langkah pentadbiran kerajaan.
Preventive detention adalah satu istilah yang diperakui dan dimuatkan dalam Perlembagaan Persekutuan sejak Merdeka pada tahun 1957.
Tidak banyak negara di dunia ini memperakui istilah preventive detention (dibaca: detention without trial!) di dalam perlembagaan negara masing-masing.
Di negara ini penahanan pencegahan (dibaca: penahanan tanpa bicara) digunakan oleh pihak berkuasa untuk menahan sesiapa yang dianggap oleh pihak berkuasa sebagai mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam. Tetapi akhirnya dia lebih digunakan sebagai satu alat untuk memenjarakan ahli-ahli politik pembangkang.
Malaysia dikatakan mendapat pengalaman dalam melaksanakan undang-undang penahanan pencegahan (dibaca: penahan tanpa bicara) daripada pentadbiran British di India.
Penahanan Tanpa Bicara Telah Lama Diamalkan
Walau bagaimanapun terdapat bukti-bukti sejarah bahawa amalan menahan seseorang tanpa bicara sudah berlaku lebih awal dahulu lagi ketika campur tangan British di negeri-negeri Melayu.
Sebenarnya pentadbiran British dalam melaksanakan penahanan tanpa bicara di negeri-negeri Melayu hanyalah bermotifkan politik sejak mulanya lagi.
Tujuannya adalah untuk melindungi kepentingan kuasa dan perdagangan ahli-ahli perniagaan Inggeris di negeri-negeri Melayu.
Beberapa contoh boleh diketengahkan, antaranya:
• Sultan Abdullah, Perak, telah diturunkan dari takhta dan ditahan tanpa bicara. Beliau setelah itu dibuang negeri ke kepulauan Seychelles pada tahun 1871 kerana berlakunya penentangan rakyat di negeri Perak terhadap campur tangan British di negeri tersebut.
• Salah seorang tahanan politik yang paling awal di bawah pentadbiran British adalah Tunku Mohamed Sa’ad dari Kedah. Beliau telah ditawan oleh angkatan laut British dalam perang Melayu-Siam pada 1938. Pada mulanya pihak British cuba menghadapkan Tunku Mohamed Sa’ad ke mahkamah atas tuduhan bertindak sebagai lanun. Tetapi percubaan ini gagal. Setelah usaha ini gagal pentadbiran British di Pulau Pinang telah menahan beliau tanpa bicara dan seterusnya dibuang negeri.
Sejarah turut mendokumentasikan bahawa amalan pemerintahan Melayu sendiri tidaklah lebih baik daripada apa yang diamalkan oleh pentadbiran British. Dalam undang-undang Melaka dinyatakan:
• Bendahara Seri Maharaja (Ketua Menteri atau Perdana Menteri), ketika tiada Sultan atau dalam jajahan miliknya sendiri boleh menghukum bunuh tanpa titah daripada sultan.
• Temenggung (Ketua Polis Negara atau Inspector-General of Police, IGP) ketika menangkap seseorang boleh turut menjatuhkan hukuman bunuh tanpa menunggu titah perintah daripada Sultan.
• Syahbandar (Menteri Pelabuhan, Perdagangan, Import dan Eksport!), ketika berada di muara sungai dibolehkan menghukum mati seseorang yang tidak mematuhi arahannya tatkala berlayar di situ.
Dalam undang-undang yang sama turut dinyatakan:
• Sekiranya seseorang didapati menikam seekor kerbau milik Bendahara, Temenggung atau orang kenamaan, Bendahari atau syahbandar, orang itu akan ditangkap dan dijadikan hamba.
Agak menarik juga jika dikaji mengapa rakyat Melayu pada masa itu amat gemar pula menikam-nikam kerbau-kerbau milik Ketua Polis Negara!
Pemikiran Feudal
Apa yang penting daripada dokumentasi sejarah di atas ialah, ianya menunjukkan kuasa sewenang-wenang atau arbitrary yang dimiliki oleh pemimpin Melayu sebelum era kolonial British lagi.
Campur tangan awal British menyaksikan kerjasama raja-raja Melayu dan pemerintahan kolonial untuk menggubal perlembagaan bertulis untuk negeri-negeri Melayu.
Johor adalah negeri Melayu pertama yang mempunyai perlembagaan bertulis pada tahun 1895. Perlembagaan Johor dipinda pada tahun 1908 dengan memuatkan antara perkara pokok seperti berikut:
• tiada seorang pun rakyat Melayu Johor yang merupakan rakyat sultan lupus kebebasan atau dipenjarakan sebelum terlebih dahulu beliau melalui proses undang-undang.
• para hakim hendaklah bebas melaksanakan keadilan tanpa campur tangan daripada Sultan atau menteri-menterinya.
• seseorang rakyat yang tersalah tangkap atau dipenjara secara tidak sah, boleh mengemukakan rayuan di mahkamah bagi mendapat pembebasannya.
Namun, pindaan-pindaan di atas dibuat adalah semata-mata di atas motif untuk melindungi kepentingan British Colonial Office.
Golongan kapitalis British yang sudah bertapak di negeri-negeri Melayu mahu memastikan hak-hak mereka di sini dilindungi di sisi undang-undang dan dengan itu monopoli perdagangan mereka di sisi undang-undang tidak diganggu-gugat.
Motif sebenar pindaan ini bukanlah untuk mempertahankan hak asasi rakyat secara tulen dan sebenar.
Dalam konteks penahanan pencegahan (dibaca: penahanan tanpa bicara), sejarah mendokumentasikan bahawa telah wujud kesinambungan yang padu dan ‘harmoni’ dalam pelaksanaannya sejak zaman kesultanan negeri-negeri Melayu, zaman pemerintahan kolonial British dan juga era pemerintahan kerajaan UMNO-BN!
Penahanan tanpa bicara telah mengekalkan kuasa golongan Melayu feudal pada zaman kesultanan negeri-negeri Melayu dahulu.
Kini penahanan tanpa bicara terus digunakan demi menjamin kuasa terus berada dalam genggaman golongan Melayu neo-feudal.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar