KUALA TERENGGANU: "Akibat kesempitan hidup, ada ketikanya dua hingga tiga hari saya dan anak terpaksa mengalas perut dengan hanya meminum air kosong bagi menahan lapar," kata Faridah Yusof, 55, seorang ibu tunggal yang hidup dalam kemiskinan di Kampung Paya Bunga, dekat sini.
DAIF...Faridah dan anaknya, Nur Aqis mengharapkan bantuan orang ramai..
Menurutnya, dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan melakukan kerja sebagai pembantu kedai apabila khidmatnya diperlukan pemilik kedai di Batu Buruk.
Katanya, dia memperoleh bantuan miskin tegar RM100 sebulan daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk bantuan penyewaan rumah.
Faridah berkata, rumah setinggan dihuninya kini sudah menerima notis supaya dikosongkan oleh kerajaan berikutan dibina secara haram di perkampungan itu.
"Saya merayu kepada pihak berkenaan supaya menyalurkan bantuan sewajarnya kepada saya kerana kini tidak mempunyai pendapatan untuk menyara dua anak.
"Berikutan kesusahan dialami, saya sekeluarga langsung tidak menjamah sebarang makanan dan terpaksa menahan lapar," katanya.
Katanya, sudah menjadi kebiasaan, dia hanya meminum air kosong selama beberapa hari tanpa menjamah makanan, malah pernah terpaksa meminta wang daripada kakak angkatnya untuk membeli makanan akibat terlalu lapar.
Beliau berkata, kesempitan hidup mengakibatkan anaknya tidak ke sekolah beberapa hari berikutan ketiadaan wang untuk tambang dan perbelanjaan.
Katanya, yuran persekolahan anaknya belum dibayar dan kelengkapannya juga masih belum dibeli.
Faridah berkata, dia terpaksa menebalkan muka meminjam wang daripada jiran serta mengharapkan ihsan mereka menghantar makanan.
Katanya, anak lelakinya, Amir Zakaria, 21, hanya melakukan kerja kampung dan wang hasil kerjanya itu cukup untuk menampung perbelanjaan dirinya.
Menurutnya, dia sedih kerana tidak dapat menyediakan belanja persekolahan anaknya, Nur Aqis Amiza Jusoh, 13, yang memerlukan tambang bas untuk berulang-alik ke sekolah sebanyak RM1.20 tidak termasuk makan dan minum.
"Mungkin itu membuatkannya kadang kala terpaksa melupakan persekolahan berikutan saya tidak dapat membekalkan wang saku.
"Saya memang tak mampu nak sediakan keperluan itu termasuk duit kepadanya untuk ke sekolah setiap hari seperti remaja lain.
"Ada kala saya menangis sendirian mengenangkan nasib menimpa keluarga dan berharap pihak berkuasa dapat membantu kami sekeluarga yang hidup dalam kedaifan," katanya.
Browse: Home > Perspektif > Air Kosong Alas Perut
Senin, 18 Januari 2010
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar