KUALA LUMPUR: “Lebih kejam daripada haiwan,” tegas penceramah bebas Ustaz Hassan Mahmud Al-Hafiz ketika mengulas mengenai tindakan ibu bapa yang sanggup menggadai akidah mereka dengan menyerahkan anaknya kepada keluarga angkat bukan beragama Islam.
Menurut Hassan, tindakan itu lebih kejam daripada haiwan kerana haiwan contohnya kucing tidak akan sanggup menyerahkan anaknya kepada spesies lain.
“Saya hairan kenapa ibu bapa sanggup menyerahkan anak mereka kepada keluarga bukan Islam.
“Walhal dalam hukum Islam, ibu bapa wajib memberi perlindungan dari segi keselamatan, tempat tinggal dan bimbingan agama kepada anak mereka walau dalam kesempitan hidup sekalipun. Ia juga membuktikan tabiat haiwan lebih baik daripada ibu bapa terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Harian Metro minggu lalu melaporkan tindakan sepasang ibu bapa sanggup menyerahkan anak perempuan mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Suria kepada keluarga bukan Islam sejak bayi lagi.
Suria mengakui, sepanjang dibesarkan oleh keluarga angkat terbabit dia didedahkan cara hidup Kristian malah pernah menjadi penyampai kandungan kitab Injil dan pastor di gereja.
Suria berkata dia hanya mengenali Islam apabila datang ke ibu negara Mei tahun lalu selepas mengenali seorang pemuda yang kemudian mengahwininya sebelum kembali memeluk agama Islam pada awal Disember lalu.
Dia kini mempelajari asas ajaran Islam seperti saudara baru lain, malah pada mula sangat kekok untuk bergaul dan berdamping dalam masyarakat Islam.
Hassan berkata, tindakan ibu bapa terbabit juga seolah-olah menunjukkan anaknya itu jalan ke neraka sedangkan mereka meneruskan kehidupan sebagai pasangan beragama Islam.
Sikap lepas tangan ibu bapa sebegitu amat ditegah dalam ajaran dan sunnah Rasulullah sambil menyifatkan tindakan itu sebagai merugikan masyarakat Islam sendiri.
“Jangan jadikan kesempitan hidup sebagai alasan untuk lepas tangan serta menyerahkan anak kepada keluarga bukan Islam kerana saya percaya ibu bapa terbabit mempunyai banyak pilihan lain sebelum membuat tindakan di luar akidah berkenaan,” katanya.
Justeru, beliau berharap perkara sebegini tidak dipandang ringan dan wajar diberikan perhatian oleh pihak yang berwajib termasuklah jabatan agama Islam negeri.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar