KOTA BHARU: "Saya malu berbinkan dia (bapa kandung) dan berhasrat membuang saja namanya dalam kad pengenalan. Tidak ada makna saya terus berbinkan namanya jika diri ini tidak diterima, lebih baik berbinkan Abdullah," demikian luahan seorang lelaki, Wan Shahril Anwar Wan Abu Bakar, 43.
NEKAD...Wan Shahril menunjukkan surat permohonan menukar nama bapanya dalam MyKad.
Berikutan itu, Wan Shahril Anwar juga bertekad mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminta supaya namanya dibinkan Abdullah kerana malu mempunyai bapa seperti lelaki berkenaan.
Menurutnya, dia kesal dan kecewa kerana kegembiraan diimpikannya selepas kira-kira 40 tahun terpisah dengan bapa kandungnya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila lelaki berkenaan didakwa enggan menerimanya sebagai anak pada pertemuan mereka minggu lalu.
Katanya, dia tidak menyangka kisah pencariannya yang disiarkan Harian Metro sebelum ini, mendapat perhatian adik-beradik yang berlainan ibu sebelum dimaklumkan kepada bapa mereka.
Menurutnya, sebelum pertemuan itu, hatinya begitu berbunga sebaik dihubungi adik yang tidak pernah dikenali dan meminta supaya datang ke ibu negara pada 2 Januari lalu kerana bapanya mahu bertemu.
Bagaimanapun, Wan Shahril Anwar berkata, kedatangannya bersama isteri serta dua anaknya bertukar mimpi ngeri dan kejadian memalukan apabila bapanya itu tidak mengaku dirinya sebagai darah daging.
"Pada pertemuan di rumahnya (bapa) di Petaling Jaya, saya hanya dihina, malah bapa beberapa kali mendakwa hanya mempunyai empat anak serta dua cucu hasil perkahwinannya selepas bercerai dengan ibu saya.
"Kenyataannya itu cukup mengguris hati sedangkan saya serta seorang lagi adik perempuan juga darah dagingnya. Keadaan itu menyebabkan saya bukan lagi anaknya, malah terasa seperti tidak diiktiraf sebagai anak kandung," katanya yang hadir ke pejabat Harian Metro, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, selepas mendengar segala kata-kata bapanya itu, perasaannya begitu sedih hingga spontan mengalirkan air mata berikutan terkejut dengan perkataan diluahkan bapa kandung sendiri.
"Selama ini, saya begitu menyanjunginya walaupun ramai mengatakan dia seorang yang garang dan sukar didekati. Kini, baru saya tahu siapa dirinya yang sebenar.
"Selepas dihina dan diperlakukan seolah-olah saya bukan darah dagingnya, saya kini mahu terus melupakannya dan biar Tuhan menentukan nasibnya selepas ini," katanya.
Katanya, lebih membuatkan dia terkilan kerana pada pertemuan itu, bapanya turut mempertikaikan niat baiknya kerana menganggap baru kini dia mahu mencarinya sedangkan selama ini tidak pernah berbuat demikian.
"Saya sendiri sudah memberitahunya yang saya begitu teringin berjumpanya sejak 10 tahun lalu tetapi sering kali dihalang kerana kedudukan bapa yang boleh dikategorikan sebagai 'orang berkedudukan' dalam masyarakat.
"Saya sedar dengan keadaan saya yang hidup tidak mewah sepertinya dan anak-anaknya yang lain. Mungkin disebabkan itu, saya dipandang hina," katanya.
Wan Shahril Anwar turut menegaskan niatnya sekadar mahu bertemu bapa kandungnya itu, bukan berniat mahu merampas harta dimiliki selain sekadar memberitahu lelaki itu yang dia sebenarnya mempunyai dua lagi anak.
"Tidak terlintas di hati saya untuk memiliki hartanya, cuma sekadar untuk memberitahu yang dia masih mempunyai dua anak kandung yang ditinggalkannya bersama bekas isteri yang kini lumpuh," katanya.
Kisah pencarian Wan Shahril Anwar pernah disiarkan Harian Metro pada 24 Disember tahun lalu yang terputus hubungan dengan bapa kandungnya selama 40 tahun akibat perceraian ibu bapanya sebelum ini.
Browse: Home > Perspektif > Bapak Tak Mengaku Anak Kandung
Senin, 18 Januari 2010
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar