JITRA: Akibat khayal dadah, seorang pencuri yang menceroboh sebuah rumah di Kampung Kubang Sepat di sini, tidak sedar dirinya dalam keadaan berbogel menyebabkan dia lari lintang-pukang ketika dikejar jiran rumah berkenaan, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, lelaki berusia 22 tahun itu dipercayai cuba masuk melalui pintu belakang rumah itu tanpa seurat benang sambil menutup mukanya dengan sapu tangan untuk mengelak daripada dikenali.
Kejadian itu hanya disedari dua anak perempuan pemilik rumah itu berusia 10 hingga 12 tahun yang ternampak kelibat 'lembaga' itu lalu berlari mendapatkan kakak mereka berusia 15 tahun yang ketika itu berada di ruang tamu rumah berkenaan.
Difahamkan, suspek turut mengejar kedua-dua beradik itu masuk ke dalam rumah tetapi dia dikatakan terkejut apabila kakak dua mangsa itu tiba-tiba menjerit meminta tolong.
Ketika kejadian, ibu mereka keluar berniaga di kedai makan tidak jauh dari kawasan itu, manakala bapa mereka mempunyai urusan di luar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin, berkata suspek kemudian sempat menarik rambut kakak mangsa menyebabkan mangsa menjerit sekuat hati meminta tolong.
Beliau berkata, jeritan mangsa didengari bapa saudara mereka yang tinggal di belakang rumah dan kemudian cuba mengejar suspek.
"Bagaimanapun, suspek cuba melarikan diri dalam keadaan bogel selepas menyedari dirinya dikejar.
"Kami percaya suspek mungkin menyembunyikan pakaiannya di tempat lain dan kami masih menyiasat punca sebenar yang menyebabkan dia berada dalam keadaan bogel sama ada mungkin berkaitan ilmu hitam atau sebaliknya," katanya di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, semalam.
Sawaludin berkata, mangsa yang ditemani bapa saudara mereka kemudian membuat laporan di Balai Polis Air Hitam, di sini kira-kira jam 2.20 petang sejurus selepas kejadian.
Beliau berkata, anggota polis yang membuat rondaan kemudian berjaya mengesan dan menahan suspek ketika dia sedang merayau di sekitar pekan Kubang Sepat dan lengkap berpakaian.
"Suspek dipercayai rakyat tempatan yang berasal dari kampung itu dan bekerja di sebuah bengkel besi di kawasan itu.
"Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai belum pernah terbabit dalam kegiatan jenayah sebelum ini," katanya.
Sawaludin berkata, suspek dipercayai berada dalam pengaruh dadah dan hasil ujian saringan air kencing menunjukkan dia positif mengambil dadah jenis methapetamin.
"Suspek kini direman empat hari untuk membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, usaha Harian Metro untuk menemubual mangsa di rumahnya semalam gagal apabila mereka enggan memberi kerjasama disebabkan masih trauma dengan kejadian itu.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar