KUALA LUMPUR 9 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati yang dibakar semalam untuk membolehkan pentadbiran gereja itu membuka rumah ibadat baru di kawasan lain.
Perdana Menteri memberitahu, peruntukan itu sebagai tanda simpati kerajaan terhadap apa yang berlaku dan ia akan disalurkan kepada pihak Assembly of God yang bertanggungjawab terhadap gereja tersebut.
“Ini merupakan sokongan dan tanda keikhlasan kerajaan dan berharap semua pihak bertenang.
“Kerajaan amat komited untuk menjaga keadaan yang harmoni dan hubungan baik antara kaum serta agama di dalam negara kita,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Gereja Metro Tabernacle selama 15 minit untuk menilai kerosakan gereja tersebut.
Najib menegaskan, lawatan beliau bertujuan menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menentang perlakuan ganas termasuk membakar tempat orang lain beribadat.
Katanya, perbuatan seperti itu sangat terkutuk bukan sahaja di bawah undang-undang negara tetapi juga dari sisi agama Islam kerana umat Islam dilarang melakukan perbuatan tersebut.
Katanya, Allah SWT berfirman dalam Surah al-An ‘aam ayat 108 yang melarang umat Islam mencerca benda-benda yang disembah oleh penganut agama lain kerana bimbang mereka akan membalasnya dengan mencerca Allah secara melampaui batas.
“Sebarang tindakan memaki-hamun, merosakkan rumah ibadat agama lain merupakan perkara yang ditegah serta dilarang oleh Islam.
“Oleh itu kita berharap semua pihak tidak akan melakukan perkara seperti ini,’’ katanya.
Perdana Menteri menegaskan, perkara itu penting bagi menunjukkan bahawa umat Islam di negara ini merupakan orang terbaik dan juga rakyat yang bertanggungjawab serta dapat hidup rukun damai dengan penganut agama lain.
Menjawab soalan mengenai tindakan sesetengah pihak mula bertindak balas dengan membaling objek ke surau, Najib menegaskan perkara itu tidak boleh dilakukan dan semua rumah ibadat perlu dipelihara.
Mengenai tuduhan bahawa UMNO merupakan dalang dalam serangan ke atas gereja-gereja tersebut, beliau memberitahu ia merupakan tindakan memutarbelitkan fakta.
Katanya, dakwaan itu dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menuduh pihak lain untuk kepentingan politik.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar