SAYA ada seorang abang angkat yang saya kenal semasa di tingkatan tiga manakala dia pula tingkatan empat. Saya tertarik dengan sikapnya yang baik, selalu solat dan tidak meninggalkan suruhan agama.
Sepanjang perkenalan kami, dia seorang abang angkat yang amat mengambil berat mengenai saya. Bagaimanapun, kami jarang berjumpa dan berbual kerana saya seorang pemalu.
Pada 2008 dia bercinta dengan rakan sekelas saya. Sejak itu hubungan kami menjadi renggang sedikit. Pada tahun yang sama, dia minta gambar saya dan saya menghantarnya menggunakan khidmat pesanan multimedia (MMS), namun dia tak puas hati. Rupa-rupanya dia mahu gambar saya tanpa seurat benang.
Saya menolak permintaannya namun berulang kali dia memujuk saya dan akhirnya saya penuhi permintaannya itu atas dasar sayang. Dia kemudian berjanji tidak akan meminta apa-apa gambar lagi daripada saya. Namun, janji tinggal janji. Dia meminta lagi gambar saya tanpa pakaian dan bila saya enggan memenuhi permintaannya, dia mengugut akan menyebarkan gambar yang saya berikan kepadanya sebelum ini.
Apapun, saya tetap berkeras tidak mahu melayan permintaannya lagi kerana tidak mahu memalukan keluarga. Berikutan itu, abang angkat saya berjanji akan memadam gambar bogel saya itu dengan syarat saya membenarkan dia menyentuh payudara saya. Saya amat terkejut dan kecewa dengan sikapnya itu. Apa yang patut saya lakukan sekarang? Saya menyesal dengan tindakan saya sebelum ini dan amat takut jika dia menyebarkan gambar bogel saya itu, Tolonglah saya.
LIZA, Pulau Pinang
Sedih dan terkedu Dang Setia membaca masalah adik. Persoalan utama yang bermain di benak Dang Setia ialah mengapa begitu mudah sekali adik memberikan gambar adik dalam keadaan mengaibkan kepada lelaki?.
Apabila `nasi sudah menjadi bubur' kita terpaksa menerima hakikat bahawa tidak banyak yang mampu dilakukan untuk memulihkan keadaan. Semoga apa yang berlaku ke atas adik menjadi pengajaran bukan saja untuk adik tetapi semua remaja lain yang mengikuti ruangan ini. Sedarilah tindakan menghantar gambar kepada teman lelaki sama ada dalam bentuk MMS atau e-mel, lebih-lebih lagi gambar lucah amat berbahaya dan boleh mengundang pelbagai masalah.
Dalam zaman teknologi yang serba canggih ini, sekali gambar kita terlepas ke tangan orang lain dengan mudah ia boleh disalah gunakan dan dengan sekelip mata saja ia boleh disebarkan kepada jutaan orang di seluruh dunia tanpa kita dapat mengawalnya.
Lebih buruk lagi, kesan buruk ini akan berkekalan sampai bila-bila. Bila kita sudah tua dan berkeluarga, tanpa diduga tiba-tiba gambar mengaibkan itu boleh muncul semula dan sampai ke tangan anak cucu kita. Jadi, fikir-fikirkan lah perkara ini sebelum ghairah menghantar gambar ke alam siber.
Selain itu, mengambil iktibar daripada kejadian yang menimpa adik, jangan mudah tertipu dengan `lakonan” dan tipu daya lelaki. Kalau benar abang angkat adik lelaki baik, kenapa dia meminta gambar bogel dan ingin memegang payudara adik? Jangan sangka orang yang alim dan rajin sembahyang, bersih daripada maksiat. Bukan maksud Dang Setia untuk mempertikaikan golongan itu, tapi sekadar mengingatkan betapa sukarnya menundukkan godaan nafsu. Biarpun bergelar haji, ustaz atau lebai, masih belum terjamin mereka tidak tewas godaan syaitan. Bak kata orang, makin besar serban dipakai, makin besar `pangkat' syaitan iblis yang mengganggu.
Berbalik kepada masalah adik, perlu disedari tindakan abang angkat adik membuat pelbagai ugutan dengan bermodalkan gambar bogel adik adalah satu kesalahan jenayah. Jadi, adik perlu berani membuat laporan polis.
Bagi Dang Setia inilah jalan penyelesaian terbaik. Ini kerana, selagi adik tidak membawa perkara ini ke pengetahuan pihak berkuasa, selagi itulah abang angkat adik akan membuat pelbagai ugutan terhadap adik dengan menjadikan gambar bogel adik sebagai modal.
Mungkin adik bimbang rahsia adik akan terbongkar kepada pengetahuan umum jika adik membuat laporan polis, namun setahu Dang Setia polis ada etika kerjanya yang mampu melindungi aib dan kerahsiaan seseorang mangsa perbuatan jenayah.
Adik sudah melakukan satu kesilapan dan kini adik dalam situasi berisiko tinggi melakukan lebih banyak kesilapan. Hanya dengan membuat laporan polis, adik boleh menyekat ugutan abang angkat adik itu, sekali gus menutup ruang untuk adik melakukan kesilapan.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar