SEREMBAN: Seorang juruteknik komputer minta dibicarakan apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar.
Tertuduh, Khairulnizam Abdul Ghani, 29, didakwa menghina dengan niat menyakiti institusi kesultanan Johor dan rakyat dengan memuat naik di dalam blognya satu artikel bertajuk ‘Dah mampos buat cara mampos la’ oleh Aduka Taruna. Kandungan artikel itu menyatakan, ‘Dah mampos buat cara mampos la. Boleh plak simpan mayat nak tunggu Datuk Bendahara balik dari shopping. Boleh meeting isytihar sedang terlentang. Pada hal dah mampos pagi tadi. Pergi mampos sama lu. ***** punya kerajaan spesis ******.’ Khairulnizam didakwa melakukan kesalahan mengikut seksyen berkenaan di rumah beralamat 297, Rumah Rakyat Panchor, Paroi, antara jam 7.25 malam hingga 9.05 malam pada 22 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta yang sama, sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau dipenjara satu tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Radzlan Jalaludin.
Masri memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 ke atas tertuduh berikutan kes itu agak serius, bagaimanapun Mohd Radzlan meminta dikurangkan.
Katanya, Khairulnizam baru berkahwin dan akan mengadakan majlis persandingan yang sepatutnya berlangsung hari ini.
“Keluarga tertuduh hanya mampu menyediakan wang jaminan sebanyak RM5,000 dalam tempoh singkat memandangkan tertuduh akan melangsungkan persandingannya esok (hari ini),” katanya.
Hakim Mahkamah Sesyen, Zamri Bakar berkata, pihaknya memandang serius perbuatan jenayah itu kerana ia menghina kerajaan yang mempunyai institusi kesultanan unik yang stabil.
Menurutnya, beliau mempertimbangkan keputusan itu berikutan Khairulnizam perlu menghadiri persandingannya dengan menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin manakala pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah.
Beliau menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar