PUTRAJAYA: “Suami saya benarkan saya ke sini, manakala lelaki ini ditugaskan menjaga keselamatan saya,” kata seorang wanita berusia 23 tahun yang ditahan kerana berkhalwat dalam sebuah kereta dengan teman lelakinya di Stesen Putrajaya Sentral di sini.
Wanita terbabit memberi alasan berkenaan ketika ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam operasi cegah maksiat di kawasan itu kira-kira jam 2 pagi Ahad lalu. Sumber berkata, wanita berkenaan tidak mengaku mereka berkhalwat, sebaliknya mendakwa tertidur di kereta kerana kepenatan selepas menunggu seorang kawan yang dijangka tiba di Stesen Putrajaya Sentral menaiki ERL.
Wanita terbabit juga mendakwa sudah mendapat kebenaran daripada suaminya untuk pergi ke situ menjemput kawan baiknya, manakala lelaki terbabit pula bersamanya kerana menjaga keselamatannya.
“Helah wanita terbabit terbongkar apabila pegawai penguat kuasa Jawi memintanya menghubungi suaminya untuk mengesahkan kebenaran kata-katanya itu.
“Dalam perbualan telefon pegawai penguat kuasa Jawi dimaklumkan bahawa suami wanita terbabit tidak tahu menahu bahawa isterinya pergi ke situ bersama seorang lelaki untuk menjemput seorang kawan baiknya,” katanya.
Malah, pegawai penguat kuasa Jawi mengesyaki mereka mungkin sudah merancang melakukan perbuatan tidak bermoral kerana tidur dalam kereta yang sama walaupun datang ke situ dengan kenderaan berbeza.
Berikutan itu, Jawi mengeluarkan surat saman bagi mengarahkan pasangan itu hadir ke pejabat agensi itu di Putrajaya untuk memberi keterangan mengikut Seksyen 29 Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh di tempat awam.
Mereka adalah antara lima pasangan berusia antara 17 hingga 35 tahun yang ditahan dalam operasi mencegah maksiat sempena cuti hari minggu, membabitkan lapan pegawai penguat kuasa Jawi cawangan Putrajaya.
Operasi yang bermula jam 10 malam hingga 3 pagi itu adalah antara usaha berterusan Jawi bagi ‘membersihkan’ kawasan di Putrajaya terutama berhampiran Masjid Putra, Jambatan Seri Wawasan dan Stesen Putrajaya Sentral di sini daripada terus dijadikan lokasi golongan remaja melakukan pelbagai aksi panas seperti berpelukan, bercumbu dan berkhalwat.
Browse: Home > Selingkuh > WANITA DAKWA DAPAT KEBENARAN SUAMI KETIKA DICEKUP BERSAMA LELAKI LAIN DALAM KERETA
Kamis, 25 Maret 2010
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar