Browse: Home > Moralitas > Mati Dibelasah Selepas Membawa Anak Gadis Orang Bepergian
Selasa, 23 Maret 2010
Mati Dibelasah Selepas Membawa Anak Gadis Orang Bepergian
JELI: Tindakan seorang warga emas membawa seorang pelajar perempuan bersiar-siar sambil membeli-belah, bertukar tragedi apabila dia dibelasah penduduk yang berang selepas menahan kenderaan dinaiki mereka, sejurus keluar dari kawasan perkelahan, Lata Renyok, di sini malam kelmarin.
Ekoran serangan itu, mangsa berusia 63 tahun yang juga pemandu teksi sapu dan bekas tentera mati ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Jeli, kira-kira jam 1 pagi semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata sehingga jam 4 petang semalam, polis sudah menahan 15 penduduk yang terlibat dalam kejadian itu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan sebagai bunuh.
Siasatan awal mendapati, kira-kira jam 6 petang semalam (kelmarin), warga emas itu membawa seorang pelajar berusia 16 tahun membeli-belah di Tanah Merah. Perbuatannya itu diketahui rakan mangsa yang kemudian memberitahu penduduk kampung.
“Penduduk yang menaiki beberapa kenderaan kemudiannya mengekori pergerakan mangsa bersama remaja perempuan terbabit. Kira-kira jam 9 malam, mangsa diekori sehingga ke tempat perkelahan Lata Renyok di Jalan Kuala Balah.
“Ketika hendak berpatah balik, mangsa yang memandu sebuah van ditarik keluar dan dicederakan oleh sekumpulan penduduk kampung, sebelum dihantar pulang, seterusnya dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan tetapi meninggal dunia akibat kecederaan teruk dialaminya,” katanya di sini, semalam.
Abdul Rahim berkata, bedah siasat terhadap mayat mangsa yang kini ditempatkan di Rumah Mayat Hospital Jeli akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi mengenal pasti punca kematiannya. Beliau bagaimanapun menolak dakwaan pelajar perempuan yang keluar bersama mangsa itu dirogol.
Didapati, pelajar perempuan yang dibawa bersiar-siar oleh mangsa sebelum diserang turut berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Jeli pagi semalam, dipercayai bagi membantu siasatan.
Susulan kejadian terbabit, sepasukan anggota polis dari unit forensik melawat lokasi mangsa diserang di Lata Renyok yang terletak kira-kira 500 meter dari Jalan Jeli-Kuala Balah, mulai jam 10 pagi semalam bagi mengumpul bukti.
Seorang anak perempuan mangsa yang enggan namanya disiarkan ketika ditemui di rumahnya dekat Lubok Bongor, enggan memberi sebarang kenyataan berhubung kejadian yang menimpa bapanya.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar