MELAKA: Takut tembelangnya bermain kayu tiga terbongkar, seorang wanita menangis teresak-esak sambil merayu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) tidak memberitahu suaminya bahawa dia ditahan khalwat.
Wanita berusia 30-an itu dicekup jam 2.45 petang semalam bersama lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun kerana berkhalwat di sebuah bilik di hotel bajet di Jalan Bunga Raya di sini.
Ibu kepada seorang anak itu seperti kehilangan punca sehingga dia hampir menarik tangan seorang anggota penguat kuasa Jaim yang menahannya sambil merayu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata bertindak atas maklumat, dua anggota penguat kuasa ke hotel itu untuk membuat pemeriksaan.
Katanya, ketika mengetuk pintu sambil membuka tingkap depan, mereka mendapati seorang wanita menuju ke bilik air manakala lelaki sedang berdiri.
“Lelaki itu membuka pintu dan pemeriksaan lanjut menemui wanita terbabit berada di bilik air dipercayai mahu menyalin pakaian.
“Soal siasat mendapati pasangan terbabit mengaku sudah melakukan mukadimah zina, tapi berhenti apabila bilik hotel mereka diketuk.
“Siasatan lanjut mendapati pasangan itu tiada hubungan mahram dan lelaki berkenaan bukan Islam,” katanya.
Rahimin berkata, wanita itu yang juga pekerja kilang merayu agar tidak memberitahu suaminya bahawa dia ditahan dengan memberi alasan mereka pertama kali tidur bersama.
Katanya, siasatan mendapati wanita itu bekerja syif malam dan singgah di hotel berkenaan bersama lelaki terbabit dengan keretanya.
“ Pasangan itu mendakwa baru dua bulan berkenalan, tapi bekerja di kilang berasingan.
“Lelaki itu juga sudah berumah tangga dan isterinya di Bangladesh,” katanya.
Beliau berkata, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, kerana bersekediaman dengan bukan mahram.
“Sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya,” katanya
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar