KUALA LUMPUR: Kedut sudah penuh di muka dan uban kian menonjol di kepala, namun semua itu tidak menjadi halangan sekumpulan wanita berstatus ‘mak cik’ untuk menjadikan kerjaya pelacur sebagai mata pencarian utama.
Difahamkan, kebanyakan pelacur tempatan terbabit sanggup menggadai maruah dan harga diri dengan berpeleseran berbekalkan gincu tebal dan bedak pipi merah bagi menarik pelanggan mendapatkan perkhidmatan mereka.
Namun, kegiatan tidak bermoral ini ditumpaskan selepas polis Kuala Lumpur memberkas pelacur jalanan terbabit menerusi operasi gempur bagi membersihkan ibu kota dari aktiviti pelacuran dilakukan warga tempatan atau warga asing.
Tiga pelacur warga tempatan berusia 40-an diberkas polis ketika asyik menjalankan aktiviti ‘lelongan’ perkhidmatan seks di sekitar ibu kota secara terbuka, kelmarin.
Sumber polis berkata, tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7 ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur terhadap dua wanita dalam keadaan mencurigakan di kaki lima sebuah bangunan di Jalan Dewan Sultan Sulaiman di sini.
Menurut sumber polis, tangkapan terbabit dibuat berdasarkan risikan dan penyamaran yang dilakukan di kawasan terbabit.
“Kedua-dua suspek wanita tempatan yang berusia 41 dan 46 tahun itu dipercayai sudah lama menjalankan aktiviti tidak bermoral itu di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kedua-dua wanita terbabit sudah berumahtangga dan mempunyai anak. Kedua-dua mereka dibawa ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan, seorang wanita disyaki pelacur ditahan di hadapan sebuah hotel murah di Jalan Raja Laut di sini oleh sepasukan anggota polis Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ketika suspek mencari pelanggan di kaki lima hotel berkenaan.
Sumber polis berkata, wanita berusia 48 tahun yang berasal dari Tumpat, Kelantan itu berlegar mencari pelanggan yang inginkan perkhidmatan seks dan tidak menyedari tingkah lakunya diperhatikan anggota polis.
Difahamkan, anggota polis terbabit turut menggunakan taktik menyamar pelanggan untuk mendekati suspek.
Sumber berkata, selepas memperkenalkan diri anggota polis, wanita terbabit yang berpakaian seksi diberkas.
Semua suspek dibawa ke balai polis cawangan masing-masing untuk diambil keterangan dan tindakan lanjut.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar