JOHOR BAHRU: “Saya rela sekiranya isteri meninggal dunia daripada melihat dia merana setiap hari kerana terpaksa meneruskan hidup dalam keadaan serba kekurangan ini,” kata seorang mualaf, Abdul Aziz Abdullah, 43, semalam.
Aziz berkata, setiap hari dia gelisah memikirkan cara mendapatkan sesuap nasi untuk isteri kurang upayanya, Salmah Bee Yaccob, 49, berikutan gagal mendapatkan bantuan pelbagai agensi kerajaan.
Menurutnya, demi memastikan isterinya tidak kelaparan, dia bukan saja terpaksa mengikat perut, malah sanggup berhutang dengan beberapa rakan. “Kami mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu dan pada awalnya menjalani kehidupan bahagia apabila saya dan isteri bekerja sebagai pekerja pembersihan sebuah syarikat swasta di Singapura.
“Namun, kami tidak menyangka kehidupan kami berubah apabila isteri disahkan menghidap kencing manis dan lebih malang apabila kaki kanannya terpaksa dipotong beberapa tahun lalu akibat jangkitan kuman.
“Keadaan bertambah buruk apabila isteri mengalami kegagalan buah pinggang pada pertengahan tahun lalu hingga terpaksa bergantung pada rawatan haemodialisis bagi meneruskan kehidupan,” katanya yang menambah dia dan isteri memeluk Islam sejak 17 tahun lalu.
Abdul Aziz berkata, bagi membiayai kos rawatan haemodialisis isterinya di sebuah pusat perubatan swasta, dia terpaksa mengeluarkan semua wang simpanannya dan isteri daripada akaun bank.
Menurutnya, malang bertimpa apabila dia hilang punca pendapatan selepas dibuang kerja di Singapura, akhir tahun lalu.
“Kami yang tiada pilihan pada mulanya memajak rantai emas milik isteri untuk membiayai kos rawatan dialisisnya.
“Malah, disebabkan tiada wang, isteri pernah tidak mendapatkan rawatan itu selama lebih dua minggu hingga kesihatannya terjejas teruk termasuk bengkak kaki akibat toksin berlebihan dalam badan,” katanya yang belum dikurniakan cahaya mata.
Menurutnya, melihat penderitaan dan kesusahan yang dialami mereka, seorang doktor dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang prihatin dengan masalah mereka menghulurkan bantuan dan memberi surat sokongan supaya permohonan menjalani rawatan dialisis secara percuma di hospital awam diluluskan.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan pusat dialisis di HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI) sudah dipenuhi pesakit, isteri diminta menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di Hospital Kulaijaya.
“Apa yang menjadi masalah, kami terpaksa naik teksi ke hospital berkenaan kira-kira 60 kilometer dari rumah kami di Bukit Mutiara, Tebrau.
“Bagaimana kami mahu membiayai tambang teksi yang mencecah RM200 seminggu, sedangkan tunggakan sewa rumah, bil elektrik mahupun bil air mencecah RM400 gagal dijelaskan,” katanya.
Menurutnya, dia yang sentiasa menemani isterinya setiap kali mendapatkan rawatan juga kecewa apabila permohonan bantuan dan kaki palsu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak menerima maklum balas.
Katanya, usaha bagi mendapatkan bantuan Baitulmal mahupun melakukan permohonan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tiada perkembangan.
“Saya dah serik turun naik pejabat minta bantuan kerana jawapan diberi sering mengecewakan menyebabkan saya hilang harapan dan kini hanya berserah pada takdir,” katanya.
Browse: Home > Perspektif > Saya Rela Istri Mati..!!!
Selasa, 23 Maret 2010
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar