PORT DICKSON: “Ibu mana yang tidak sayangkan anak, tetapi keluarga kami terpaksa membuat keputusan paling berat menghantar adik ke rumah kebajikan berkenaan demi memastikan keadaannya lebih selesa dan mendapat perhatian sewajarnya kerana sikap agresifnya.”
Begitu kata J Haridass, 23, abang kepada remaja orang kurang upaya (OKU) berusia 19 tahun yang ditemui dirantai dalam sebuah bilik pusat jagaan di Jalan Laksamana Cheng Ho, Melaka ketika operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri pada 10 Mac lalu.
Beliau berkata, keluarganya menolak dakwaan enggan menerima adik lelakinya, sebaliknya sudah berusaha cara terbaik bagi memberikan kehidupan lebih sempurna selepas sukar mengawal pergerakannya berikutan pernah mencederakan diri sendiri mahupun orang lain.
Menurutnya, sebelum ini mereka sekeluarga terutama ibu, P Palaniaamal, 48, menjaga adik bongsu daripada empat beradik berkenaan selama lapan bulan selepas kematian bapanya, L Jeganathan, 52, namun mengalami kesukaran berikutan pergerakan remaja itu sukar dikawal.
Katanya, ini berikutan ketika bapanya masih hidup, adiknya tidak berani membuat perlakuan luar biasa kerana bimbang akan dimarahi, tetapi keadaan berubah selepas itu apabila mendiang meninggal dunia akibat penyakit jantung pada 2008.
“Keadaan adik semakin sukar dikawal kerana dia akan mencederakan diri termasuk berlari keluar rumah dalam keadaan memalukan menyebabkan kami sekeluarga sepakat meletakkannya di rumah kebajikan berkenaan supaya mendapat perhatian lebih baik.
“Ini berikutan ibu hanya tinggal seorang diri di rumah dan tidak mampu menjaganya sendirian disebabkan saya bersama kakak serta adik perempuan lain bekerja dan belajar di Kuala Lumpur.
“Sepanjang menghantarnya ke rumah kebajikan itu sejak lebih setahun lalu, tidak pernah pula timbul masalah sehingga kisah adik tersiar dalam akhbar dan televisyen menyebabkan kami semua amat terkejut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Rakyat Linggi di sini, semalam.
Harian Metro sebelum ini melaporkan penemuan seorang remaja lelaki dalam keadaan dirantai dan dikurung dalam sebuah bilik di pusat jagaan oleh pegawai JKM Daerah Melaka Tengah.
Browse: Home > Perspektif > Bukan Ibu Tak Sayang Kau Nak!
Selasa, 23 Maret 2010
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar