KUALA IBAI: Tindakan pihak berkuasa membiarkan kawasan rekreasi bersebelahan Masjid Tengku Intan Zaharah atau lebih tersohor sebagai Masjid Terapung terbengkalai sejak beberapa tahun lalu, sebenarnya menguntungkan sekumpulan remaja yang memanfaatkan kawasan terbabit untuk bermadu asmara tanpa gangguan.
Rancangan menjadikan kawasan berhadapan dengan tasik itu sebagai taman permainan kanak-kanak dan tempat keluarga beriadah itu belum dapat direalisasikan dan ramai yang ditemui menganggapnya sebagai angan kosong kerana pihak sepatutnya bertanggungjawab terhadap projek itu masing-masing lepas tangan. Tinjauan Edisi Timur mendapati keadaan agak menyedihkan kerana kawasan rekreasi strategik itu terbiar dan pelbagai peralatan serta binaan yang hampir disiapkan sudah diliputi lalang dan tumbuhan liar.
Seorang peniaga yang tinggal berhampiran kawasan itu, Muhammad Saiful Nizam Mohd Salim, 45, berkata tempat sedemikian kini menjadi tumpuan pasangan remaja tanpa gangguan kerana orang berkeluarga tidak dapat membawa anak ke kawasan itu yang tidak mempunyai kemudahan yang diharapkan.
Keadaan itu, katanya, memberi kelebihan dan peluang kepada golongan berkenaan untuk terus mencabuli kawasan itu dengan pelbagai perbuatan yang terlarang.
"Sudah acap kali saya melihat pemuda pemudi duduk bercengkerama di sebalik lalang yang tumbuh berkeliaran berhampiran pokok ru.
"Sekali pandang kita tidak menyimpan syak, namun selepas beberapa jam ke kawasan itu semula pasangan yang sama masih berada di kawasan sehingga lewat senja dan ada kalanya sehingga malam.
"Mungkin dengan bermodal sebatang joran mereka ingat helah itu sudah berjaya mengelirukan mata yang memandang tetapi mereka ternyata silap kerana ‘permainan terlarang’ mereka itu banyak kali dibual oleh penduduk yang tinggal tidak jauh dari perkampungan Kuala Ibai,” katanya.
Penduduk Kampung Pantai Kuala Ibai, Ali Ibrahim, 70, menyifatkan masalah yang berlaku berpunca daripada sikap tidak cakna pihak mengendalikan beberapa projek untuk membangunkan kawasan itu.
Katanya, berikutan masalah yang menimpa pemaju projek berkenaan, selain penduduk terpaksa melihat tingkah laku muda mudi memadu kasih di celah semak, mereka juga bimbang dengan kehadiran ramai buruh asing yang masih menetap di rumah kongsi.
"Penduduk kampung dan tukang rumah tempatan yang sebelum ini turut mencari rezeki sebagai tukang di kawasan rekreasi itu juga kehilangan punca pendapatan berikutan masalah yang menimpa pemaju," katanya.
Berikutan masalah yang menimpa projek taman rekreasi itu, Ali yang sudah menetap di kawasan itu sejak 40 tahun lalu berkata, penduduk sedih kerana kawasan itu menjadi sarang maksiat dan habitat haiwan berbisa serta menafikan peluang warga sekitar untuk beriadah di kawasan teluk itu.
Namun, katanya, penduduk yakin semua masalah itu dapat ditangani sekiranya pihak berwajib ambil berat dan memantau serta cuba berusaha meneruskan semula projek yang tergendala itu.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar