Browse: Home > Indonesiakoe > Kerja Siang Malam, Tak Juga Menjadi Kaya..
Selasa, 23 Maret 2010
Kerja Siang Malam, Tak Juga Menjadi Kaya..
KERJA SIANG MALAM TIDAK JUGA KAYA
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Betty Banafe sukar menidakkan ibunya yang menetap di Jakarta pernah menjerit di telefon meminta supaya berhenti saja berlakon di tanah airnya.
“Alasan ibu, jika saya menjadi pelakon di Jakarta dengan pengalaman lebih 10 tahun begini, sudah tentu saya boleh hidup mewah sebab bayaran di sana tinggi,” katanya.
Betty yang kini sibuk membintangi drama Aku Bukan Siti Khatijah kecewa kerana ada produksi tempatan lebih mendewakan pelakon luar hinggakan aktor seberang Ari Wibowo difahamkan dibayar RM70,000 untuk berlakon drama kita.
“Bayangkan RM70,000 yang dibayar pada Ari Wibowo sama dengan kos produksi satu drama. Usah mimpi pelakon drama kita akan mendapat bayaran setinggi itu, dan saya tidak malu berkata bayaran drama untuk artis kita sememangnya ciput.
“Pelakon Indonesia dan Thailand boleh buat duit dengan kerjaya mereka, tetapi di sini hasil lakonan kita seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.
Menurut Betty, dilema dihadapi artis sekarang tidak boleh dipandang remeh kerana jika artis tertekan, terutama wanita, kelak akan terjadi pelbagai gejala sosial dalam masyarakat.
“Masing-masing nak hidup dan bila keadaan semakin terdesak, artis wanita yang tertekan akan melakukan apa saja dengan aset yang ada untuk terus hidup,” katanya.
Pelakon juga penyanyi, Azza Elite pernah terasa bosan dan penat dengan bidang diceburi tetapi terpaksa mengharunginya terus kerana itu saja sumber rezekinya.
“Saya rasa penat dan bosan nak terus berlakon kerana hal remeh-temeh, terutama kebajikan artis yang tidak terbela.
“Bukan saja soal bayaran, adakala penyediaan makanan tidak setimpal, hal begini mungkin dianggap remeh tetapi ia memberi implikasi negatif pada kami anak seni,” katanya.
Tidak seperti segelintir pelakon yang merana daripada segi bayaran, Azza dikira beruntung dibayar sederhana.
“Saya tidak mahu terpedaya kerana ia boleh membuat saya lebih tertekan. Justeru, setiap tawaran saya akan teliti dan memadai jika bayarannya sekadar sederhana,” katanya.
Bagi penyanyi Farawahida, dalam tempoh tiga tahun menceburi bidang nyanyian, dia tidak yakin untuk terus menjadi anak seni kerana terasa sukar mencipta nama.
“Saban hari terfikir boleh terus atau mengundur, sebabnya saya rasa susah sangat nak bersaing dengan artis lain.
“Apatah lagi artis bintang realiti kian hari kian berlambak tetapi selepas tiga tahun, populariti saya mulai terbina, ketika itu baru timbul keyakinan untuk serius di bidang seni,” katanya.
Sekalipun bidang nyanyian tidak semewah era 1980-an dan 1990-an, bagi Farawahida dia tetap bersyukur.
“Untungnya saya bukan kaki enjoy dan gila barangan berjenama, sebab itu jika sebulan saya sekadar mendapat RM5,000 saya bersyukur kerana ada juga pendapatan.
“Lainlah tiba masa saya berkeluarga dan suami meminta saya berundur, saya tak dapat kata apa-apalah,” katanya.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar