Petikan Dari Harian Metro.
Umurnya sudah masuk kategori veteran, berumah tangga selama 21 tahun dan anak sulung kini berusia 20 tahun, namun itu semua belum mampu membebaskan seorang lelaki daripada cengkaman naluri homoseksual.
Hanya mahu dikenali sebagai Razi, 46, bapa empat anak itu meluahkan kegelisahan dan dilema dialaminya kepada Metro Ahad dengan alasan dia kini menyedari tidak boleh lagi hidup berpura-pura sebagai lelaki normal.
Razi berkata, nafsu dan cinta sebenarnya bukan kepada isteri tetapi pada kekasihnya, iaitu seorang anak muda sama jantina dengannya yang dipanggil Edi selepas mereka menjalin hubungan sejak enam tahun lalu.
“Bukan kerana saya tak sayangkan isteri lagi tapi setiap kali menatap wajahnya, saya menyedari saya tidak lagi menyukainya sebagaimana ketika mula-mula berkahwin dulu. Cinta sebenar saya adalah kepada Edi.
“Sukar mengikis naluri yang terpendam dalam diri ini, saya lebih suka mendampingi lelaki. Saban hari saya hanya terkenangkan ‘kekasih’ saya,” katanya yang juga kakitangan kerajaan.
Razi juga mengakui perkahwinan dengan isterinya yang dilangsungkan 21 tahun lalu sebenarnya lebih bertujuan memenuhi kehendak keluarga dan pada masa sama diharap mampu menutup naluri songsang yang mencengkam dirinya sejak di bangku sekolah lagi.
Menurutnya, ketika di sekolah menengah dan menuntut di universiti, dia kerap memendam perasaan apabila jatuh hati kepada lelaki disukainya. Ia tidak pernah diluahkan kerana takut dipandang sinis dan dicerca oleh mereka.
“Saya juga cuba melawan keinginan songsang saya dan belajar mendekati wanita. Akhirnya saya bertemu seorang gadis ketika menuntut di universiti. Dia kini isteri saya.
“Sejak mula berkahwin, saya cuba mencintai dan menyukainya tetapi entah mengapa perasaan itu tidak mahu datang kepada saya. Walaupun kami kemudian dikurniakan anak sehingga empat orang, realitinya saya tidak pernah menyintai isteri sepenuh hati.
“Nafkah batin yang saya beri kepada isteri hanya semata-mata memenuhi tanggungjawab tanpa ada perasaan cinta. Hubungan kami mampu bertahan sehingga 21 tahun kerana dia memang setia dan benar-benar cintakan saya,” katanya.
Menurut Razi, selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga dan mengawal gejolak nafsu songsangnya, pada 2001 dia tewas pada godaan apabila berkenalan dengan Edi yang ketika itu masih menuntut di sebuah universiti di Selangor.
Katanya, ibarat pasangan bercinta, mereka sering keluar setiap hujung minggu dan kerap juga bersama ke pusat peranginan terkenal di tanah air hingga seminggu lamanya.
“Isteri saya mengenali Edi tapi pada awalnya dia tidak mengesyaki apa-apa, malah dia menganggap Edi keluarga angkat kami, tapi tembelang pecah apabila ada rakan membuka rahsia hitam saya pada Jun lalu.
“Sejak itu kami sering bertengkar. Apabila didesak isteri, saya masih menafikan hubungan songsang saya dengan Edi. Bukan apa, saya sayang juga dengan rumah tangga kami yang bertahan 21 tahun. Lagipun, saya malu kalau anak tahu ayah mereka sebenarnya gay,” kata Razi.
Sejak hujung September lalu, Razi tidak lagi tinggal sebumbung bersama isteri kerana isterinya tidak mempercayainya lagi.
“Sejak berjauhan, timbul pula rasa rindu pada keluarga, terutama anak. Memang sepatutnya saya memilih keluarga daripada bersama Edi dan saya tahu apa yang saya lakukan salah serta bertentangan fitrah yang dituntut agama.
“Namun saya juga tidak mahu menipu diri sendiri dan hipokrit. Sukar membuang keinginan bersama Edi. Dalam masa sama, saya tidak mahu melukakan hati isteri. Paling penting anak, adakah mereka boleh terima semua ini?” katanya yang masih buntu membuat keputusan.- Harian Metro
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar