ALOR SETAR: Taman Jubli Emas Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Jalan Suka Menanti, dekat sini yang dibina bagi memperingati 50 tahun pemerintahan baginda, dicemari perbuatan pasangan remaja yang bertindak memadu asrama tanpa segan silu kepada pengunjung lain.
Tinjauan Berita Harian mendapati pasangan remaja terbabit secara selamba berpelukan atau berbaring di atas riba pasangan mereka tanpa mempedulikan orang ramai yang lalu lalang di situ.
Perbuatan mereka yang melakukan aksi mencolok mata tanpa rasa malu itu menimbulkan rasa tidak selesa pengunjung lain yang membawa keluarga untuk beriadah.
Tinjauan juga mendapati pasangan terbabit gemar menggunakan wakaf di situ untuk melakukan pelbagai perbuatan tidak senonoh.
Seorang petugas di taman itu yang hanya mahu dikenali sebagai Che Li mendakwa, sering ternampak pelbagai aksi panas yang dilakukan pasangan remaja tanpa mengira waktu.
"Pasangan terbabit tidak mempunyai perasaan malu apabila berpelukan dan bercium di wakaf yang digunakan sebagai tempat berehat.
"Ada di antara pasangan terbabit dilihat melakukan aksi melampau, termasuk seks oral dan kita bimbang terhadap perlakuan mereka terlalu bebas.
"Kita berharap Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) kerap melakukan operasi menahan mereka yang berkelakuan tidak sopan di tempat awam itu," katanya.
Rakan beliau yang enggan dikenali mendakwa kawasan itu sering menjadi tumpuan pasangan memadu asmara pada waktu sunyi kerana kurang pengunjung ketika itu.
"Mereka biasanya gemar memilih waktu tengah hari atau malam melakukan kegiatan tidak senonoh kerana suasana sunyi.
"Malah, pada tengah hari Jumaat ketika umat Islam sibuk ke masjid, ada juga pasangan mengambil kesempatan melakukan maksiat kerana mungkin tiada gangguan daripada pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata, selain itu ada juga pasangan melakukan maksiat dalam kereta di kawasan taman berkenaan dan mahu pihak berkuasa meningkatkan pemantauan supaya taman itu tidak dijadikan tempat pemuas nafsu pasangan remaja.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jaik, Syeikh Mohd Suhaimi Salleh ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meningkatkan operasi di kawasan itu.
"Kita akan membuat pemantauan di sekitar taman itu bagi membanteras kegiatan tidak bermoral. Jaik berharap orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi kita untuk tindakan susulan," katanya.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar