KUALA LUMPUR 27 April - Perancangan rapi sekumpulan enam penyamun untuk melarikan barangan kemas bernilai puluhan ribu ringgit dari sebuah kedai emas dekat Puchong Jaya hari ini, bukan sahaja gagal malah nyaris membuatkan mereka terkurung di dalam premis tersebut.
Kejadian pada pukul 10.40 pagi itu berlaku apabila pintu utama automatik di premis tersebut tiba-tiba tertutup apabila suspek mula memecahkan cermin pameran.
Meskipun kumpulan penjenayah itu telah merancang rapi menggunakan tangga lipat setinggi 1.2 meter yang dibawa mereka, namun gagal menghalang pergerakan pintu itu.
Perkara itu menyebabkan kesemua mereka panik lantas bergegas melarikan diri tanpa sebarang hasil.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, kejadian berlaku ketika premis berkenaan dikatakan baru hendak memulakan perniagaan.
Katanya, bagaimanapun enam lelaki yang menaiki tiga buah motosikal tiba-tiba datang ke kedai emas tersebut. Tiga daripada mereka meluru masuk ke dalam premis manakala bakinya berkawal di luar.
''Semasa kejadian, terdapat lima pekerja yang sedang melayan dua pelanggan memilih barang kemas.
''Tiga penjenayah meluru dan memecahkan cermin pameran barangan kemas dengan kapak dan tukul. Mereka juga meletakkan tangga lipat bagi menghalang pintu kedai itu daripada tertutup.
''Namun, dipercayai tangga itu gagal menahan pintu tersebut lalu terbalik. Bimbang akan terkurung, kesemua mereka melarikan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Kok Chin memberitahu, hasil penelitian pada kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut mendapati tiga penyamun berkawal di luar bagi menghalau orang ramai yang cuba mendekati.
Menurutnya, turut kelihatan seorang daripada suspek yang menunggu di luar sambil memegang objek seperti pistol.
''Kumpulan penyamun itu juga tidak bercakap bagi menyembunyikan identiti mereka," ujarnya sambil memberitahu kesemua pekerja dan pelanggan kedai tersebut tidak dicederakan.
Kok Chin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak motosikal yang dinaiki suspek-suspek supaya tampil menyalurkan maklumat.
habis
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar