KUALA LUMPUR 28 April - Hanya kerana masalah sampah nyawa seorang manusia melayang.
Itulah terjadi kepada seorang lelaki berusia 51 tahun setelah dibelasah oleh dua beranak yang merupakan jirannya menggunakan kayu besbol di tingkat bawah pangsapuri Sri Sentul, Bandar Baru Sentul di sini, kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Segala-galanya bermula apabila seorang daripada suspek tersebut meletakkan bungkusan sampah berdekatan pintu rumah mangsa. Keadaan itu menyebabkan mangsa tidak berpuas hati lalu menegur suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, namun teguran itu mengakibatkan tercetusnya pergaduhan sehingga suspek dan bapanya memukul mangsa dengan kayu besbol.
Katanya, mangsa, Cheng Sin, 51, yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika menerima rawatan, tiga jam kemudian.
"Ekoran itu polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dan bapanya, 51 tahun, di rumah mereka awal pagi ini. Dengan penahanan dua suspek yang berkerja sebagai pemandu lori, kes tersebut dianggap selesai.
"Mangsa dikejarkan ke HKL oleh jiran-jiran lain untuk menerima rawatan bagaimanapun gagal diselamatkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati masalah sampah tersebut telah lama berlarutan beberapa kali sebelum ini dan mereka seringkali bertengkar.
Katanya, pertengkaran itu sering kali bertukar menjadi pergaduhan malah jiran-jiran lain sendiri takut meleraikannya.
Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, anak saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 26, berkata, ketika kejadian dia sedang berada di dalam rumah.
"Saya hanya keluar dari rumah selepas terdengar bunyi bising di luar. Ketika itu bapa saudara saya menegur tindakan jiran sambil meminta dia (jiran) membuang sampah di tempat yang betul," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menurutnya, tidak lama selepas itu, tiba-tiba pertengkaran itu berubah menjadi pergaduhan.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar