JOHOR BAHRU: Berang selepas suami tersayang asyik pulang lewat dalam keadaan mabuk dan berbau minyak wangi murahan, seorang isteri membuat laporan polis berhubung aktiviti lelaki itu yang sering hanyut dengan belaian manja ‘amoi China’ di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini.
Lebih menyakitkan hati wanita terbabit apabila si suami berhidung belang itu dikatakan membelanjakan hampir semua wang gaji untuk berfoya-foya bersama pelayan terbabit.
Aduan wanita terbabit ternyata mendapat perhatian pihak berkuasa apabila pusat hiburan yang menyediakan gadis pelayan warga asing itu digempur sepasukan polis di Taman Pelangi di sini, jam 11 malam kelmarin.
Pegawai Turus Cawangan Anti Perjudian Maksiat dan Kongsi Gelap, Deputi Superintendan Tan Yap Seng, berkata ketika serbuan pihaknya menahan 19 wanita warga China berusia antara 22 hingga 35 tahun bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di premis terbabit.
“Akibat tidak tahan dengan perangai buruk suami suka berfoya-foya dan menghabiskan wang di pusat hiburan ada di kalangan isteri pelanggan tampil membuat laporan berhubung kegiatan di premis ini.
“Hasil maklumat kami menjalankan siasatan dan risikan selepas terbukti dakwaan itu benar.
“Dipercayai gadis pelayan ini akan datang seawal jam 7 malam untuk bersiap dan hanya akan pulang lewat malam selepas selesai melayan lelaki hidung belang,” katanya.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati pemilik premis yang didaftarkan sebagai pusat latihan menyanyi menjalankan aktiviti tidak bermoral apabila menawarkan hidangan minuman keras dengan layanan GRO.
Katanya, setiap gadis terbabit diberikan komisen berdasarkan jumlah minuman dipesan pelanggan, malah jika pandai memujuk gadis terbabit dikatakan sanggup mengikut lelaki berkenaan pulang.
Pemeriksaan mendapati enam daripada 19 gadis terbabit gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah, manakala bakinya menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan.
“Seorang lelaki tempatan iaitu pengurus premis terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan.
“Kami sentiasa menjalankan pemantauan berterusan terhadap premis hiburan bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan lesen diberikan,” katanya.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar