PENGALAMAN menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid sekitar Selangor telah mendedahkan fakta bahawa khutbah yang dibaca sepatutnya tidak lari daripada isi kandungan yang mengajar jemaah memelihara keharmonian sesama Islam dan mengukuhkan ukhwah.
Adakalanya terdapat khatib luar yang mengambil alih mimbar atas sebab tersendiri. Tugas khatib bukan sekadar membaca teks khutbah yang diluluskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), malah ia perlu dibaca mengikut rukun dan adab sebagai seorang yang tiada kepentingan melainkan untuk ummah semata-mata. Ini yang sepatutnya diamalkan.
Bukan berniat menyindir sesiapa namun adakala khutbah yang disampaikan bukan ditujukan secara am kepada ummah malahan melencong mengkritik individu tertentu yang dapat diteka siapa dan apa jawatannya.
Walau kritikan di dalam khutbah sepatutnya mendidik namun saya percaya satu hari nanti jika fenomena sebegini dibiarkan berleluasa ada khatib yang akan disaman hingga bankrap. Pernah terjadi ada khatib di sebuah masjid terbawa-bawa dalam berkhutbah seolah-olah berkempen untuk memburuk-burukkan peribadi seseorang. Hingga ada jemaah dari negara jiran yang singgah berjemaah solat Jumaat yang kelihatan resah gelisah kerana mengalami pengalaman yang agak baru pada pandangan mata dan pendengaran telinganya.
Seorang khatib harus sedar bahawa setiap jemaah solat Jumaat tidak semua yang menyokong pegangan siasah beliau. Ditakuti jika ada hati yang panas akan menjadikan rumah ibadat sebagai medan bertegang urat dan menimbulkan bibit-bibit permusuhan sesama Islam.
Kita perlu akur dengan fakta bahawa masjid perlu menjadi medan berkecuali dan bebas politik kerana hanya masjidlah tempat kita boleh bersatu dan bersama selain dari Padang Mashyar kelak.
Mengapa kita tidak belajar bahawa kita berpegang kepada qadak dan qadar. Setiap sesuatu telah ditentukan oleh Allah SWT maka wajar usaha kita dalam sosio-politik itu tidak sampai menceroboh sempadan masjid yang menjadi satu-satunya tempat kita bersatu setiap minggu pada hari Jumaat.
Adakah kita mahu tidur dalam celik seperti Pak Malau dalam kisah Seri Mersing yang termakan hasutan anak Penghulu hingga Damak merajuk pulang ke Pahang. Bukalah hati jika mata semakin kabur. Masjid yang menjadi tempat khutbah berapi-api itu pun didirikan hasil perjuangan dan bantuan dana Kerajaan Pusat selama ini.
Bukankah politik menghasut tanpa bukti tidak wujud dalam Islam. Apakah Perlembagaan Madinah yang menjadi tunjang kekuatan politik Islam tidak dapat dihayati oleh kita semua sebelum berkata-kata sesuatu yang menghiris kalbu sesama umat.
Manusia dijadikan pelbagai kaum dan agama untuk kita berbaik-baik namun sebelum itu bangsa dan agama kita perlu kuat dan bersatu dalam perjuangan menegakkan agama. Kegagalan kita menyatukan rakyat dengan bermuqabalah mahupun bermuzakarah perlu ditanggung dosanya kepada yang menolak hingga ke akhirat kelak.
Generasi muda hari ini akan melaknati sesiapa sahaja yang mengatakan bersatu itu tidak baik waima untuk agama kita dan bangsa kita.
Oleh itu saya sebagai rakyat yang cintakan Sultan, pemimpin, ulama yang berdarah Melayu dan Islam mengharapkan tiada pihak yang menyalahgunakan khutbah dan mimbar masjid sebagai membawa imej dan dasar parti politik.
Wajibkan setiap teks khutbah seluruh masjid di Selangor mendapat perkenan dan kelulusan baginda sebelum ia dibaca oleh khatib kerana tiada pihak yang lebih berhak mengesahkan sesebuah teks khutbah melainkan Sultan yang menjadi ketua agama dengan mendapat pandangan mufti negeri.
Sumber : utusan malaysia
ABDUL RAZAK IDRIS
Banting, Selangor
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar