JOHOR BAHRU: Bimbang rahsia asmaranya bersama dua lelaki terbongkar, seorang wanita tergamak membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya dengan melemaskannya ke dalam pam tandas sebuah sekolah memandu di Segamat.
Malah, demi memastikan perbuatan terkutuknya itu terus menjadi rahsia, wanita berusia 21 tahun itu kemudiannya menyumbat mayat bayi malang itu ke dalam tangki sama sehingga menyebabkan kepala tubuh kecil itu remuk dan pecah.
Namun, rahsia yang cuba disembunyikan itu tidak bertahan lama apabila rungutan orang ramai berhubung bau busuk dari tandas membawa kepada penemuan mayat bayi yang mula membengkak dan reput sejak lima hari lalu itu.
Menurut sumber polis, ketika ditemui, kepala bayi yang baru dilahirkan itu hampir hancur akibat perbuatan tangan ibu sendiri yang menekannya dengan kuat bagi membolehkannya merahsiakan kelahiran hasil perbuatan terkutuknya ke dalam tangki pam tandas itu.
Katanya, lima hari lalu wanita terbabit dikatakan ke sekolah memandu berkenaan bagi menduduki ujian memandu, bagaimanapun dia kemudian tergesa-gesa keluar dari kenderaan dengan alasan untuk ke tandas kerana sakit perut.
Difahamkan ketika kejadian, wanita berkenaan terperuk hampir dua jam dalam tandas untuk melahirkan bayi cukup sifat hasil hubungan sulit dengan dua lelaki sebelum membunuh bayi itu dengan menyumbatnya ke dalam tangki pam tandas. Wanita berkenaan kini sudah ditahan polis untuk membantu siasatan kes, malah kini polis sedang menjejaki dua lelaki yang dikatakan pernah menjalinkan hubungan sulit dengan wanita terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Md Ali, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu sebaliknya menegaskan satu sidang akhbar dijangka dibuat pada Isnin ini.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar