KOTA KINABALU 31 Jan. - Tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP merobohkan gerai peniaga Melayu menunjukkan kerajaan negeri yang dipimpin pakatan pembangkang sebenarnya hanya 'indah khabar daripada rupa'.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pelbagai masalah besar dan kemelut yang melanda pakatan pembangkang menunjukkan mereka tidak mampu mentadbir negeri apatah lagi sebuah negara.
"Kalau seorang pemimpin itu datang daripada sebuah parti yang tiada pengalaman mentadbir, inilah masalah yang boleh timbul.
"Ini bukannya kali pertama ada masalah yang besar di Pulau Pinang, sebab itu sangat penting dalam mentadbir negeri bukan sahaja Ketua Menteri sebagai individu tetapi parti yang memerintah juga mesti ada pengalaman dan rekod cemerlang dalam mentadbir," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Juara Rakyat dan Ekspo Pendidikan Putatan di Kompleks Rakan Muda dekat sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, Datuk Yahya Hussin. Pada majlis itu seramai 300 ahli UMNO baru berjaya didaftarkan.
Kerajaan negeri Pulau Pinang sejak akhir-akhir ini merobohkan beberapa gerai milik peniaga Melayu kerana didakwa beroperasi tanpa lesen.
Menurut Saifuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, tindakan pembangkang itu jelas membuktikan hanya Barisan Nasional (BN) sahaja mampu menjadi juara rakyat dan membela nasib rakyat tanpa mengira kaum.
"Meskipun kita ada pengalaman lebih 50 tahun mentadbir negara, tak bererti kita tidak ada kelemahan, kita mengakui ada kelemahan tetapi kita bersedia memperbaiki dan tahu bagaimana hendak memperbaikinya.
"Ini beza yang besar antara kita sebagai juara rakyat dengan orang lain (pembangkang) yang mengaku dia hendak menjadi juara kepada rakyat," tegasnya.
Dalam pada itu katanya, kemelut dan krisis yang terus melanda pembangkang menunjukkan terdapat masalah besar dalam pakatan itu yang turut menyebabkan sokongan rakyat kepada mereka semakin berkurangan.
Sementara itu mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang menggambarkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai seorang diktator dan cauvinis, Saifuddin yakin tuduhan itu tidak dibuat sewenang-wenangnya.
"Saya kenal Yang Berhormat Bayan Baru sebagai seorang yang tenang dan seorang Ahli Parlimen yang baik, saya yakin beliau ada sebab-sebab yang kukuh kenapa beliau membuat tuduhan sedemikian rupa kepada Ketua Menteri Pulau Pinang," ujarnya.
Browse: Home > Perspektif > Kerajaan DAP Pulau Pinang 'indah khabar daripada rupa'
Senin, 01 Februari 2010
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar