Membasmi kemiskinan di bandar kini menjadi keutamaan dalam tanggungjawab Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar apabila kerajaan mengubah fokus untuk membantu mereka yang memerlukan di bandar-bandar.
Mereka yang miskin di bandar, terpinggir sebelum ini kerana dasar kerajaan untuk membantu mereka ditumpukan kepada kawasan luar bandar yang dikaitkan dengan kemiskinan. Bagaimanapun penghijrahan dari luar bandar ke bandar, membawa bersama masalah kemiskinan ini.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata bermula Jun, kerajaan akan menggariskan peranan kementerian dalam menangani kemiskinan bandar di Kuala Lumpur.
"Tumpuan akan diberikan di kawasan yang ramai berpendapatan rendah seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR), perumahan awam dan baki setinggan yang masih ada. Begitu juga di kawasan yang agak ketinggalan seperti di Chow Kit, Kampung Baru dan Kampung Pandan," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya di Putrajaya.
Pada pembentangan Bajet 2010 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Kementerian Wilayah Persekutuan diperkukuh dan dibesarkan skopnya serta ditukar nama kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
Raja Nong Chik berkata penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar sejak 30 tahun yang lepas menyebabkan kini 63 peratus rakyat Malaysia duduk di bandar dengan majoritinya di Kuala Lumpur.
"Ini bermakna demografi penduduk sudah berubah tetapi dalam masa yang sama tumpuan dan program kerajaan sebelum ini ditumpukan di luar bandar menerusi pelbagai program seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
"Jika dibandingkan, kadang-kadang sesetengah jalan di luar bandar ada yang lebih baik daripada jalan di dalam bandar. Orang selalu menganggap kerana infrastruktur dah cukup, maka tidak perlu diberi tumpuan tetapi kita lupa bagaimana dengan nasib orang yang sudah berhijrah ke dalam bandar dan tidak berkemampuan," katanya.
Bagaimanapun bilangan mereka yang miskin tegar ini tidak besar tetapi suara kelompok ini membawa banyak implikasi kepada pelbagai pihak.
Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, program yang dilakukan tertumpu kepada golongan miskin tegar yang diperoleh daripada sistem e-kasih, satu sistem pangkalan data kemiskinan yang dibangunkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
"Program membantu orang miskin dalam bandar termasuk memberi bantuan pembiayaan sewa rumah kepada yang tak mampu membeli rumah, dan bagi mereka yang layak, mereka mungkin dibantu membeli Amanah Saham Nasional misalnya," katanya.
Selain itu, katanya, bantuan bagi murid-murid sekolah dan bantuan bagi meningkatkan kemahiran sedang dikaji dan tertakluk kepada peruntukan yang diperoleh kementerian.
FALSAFAH 7P BANTU WARGA KOTA
Tidak sampai setahun memikul tanggungjawab sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik menggunakan pengalamannya selama lebih 25 tahun sebagai 'rakyat biasa' untuk membantu memenuhi keperluan penduduk di Wilayah Persekutuan.
Dengan berpegang kepada 'Falsafah 7P', Raja Nong Chik sering dilihat turun padang meninjau sendiri dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi warga kota tanpa perlu adanya majlis formal.
"Saya sudah berkecimpung dalam bidang politik di Wilayah Persekutuan lebih kurang 20 tahun, jadi saya tahu masalah-masalah asas warga kota. Oleh itu bila saya masuk kementerian ini, untuk menyenangkan tumpuan kerja saya, maka saya mengeluarkan Falsafah 7P," katanya.
7P yang dimaksudkan beliau ialah pembangunan, perumahan, penyelenggaraan, penjaja, penguatkuasaan, pengangkutan awam dan prihatin. Raja Nong Chik yakin jika 7P ini dapat difokuskan, maka prestasi kementerian ini akan meningkat, rakyat berpuas hati dan akhirnya memberi kesan kepada kerajaan terutama sekali semasa pilihan raya.
Katanya bagi masalah perumahan di Kuala Lumpur, kementerian sudah pun mengedarkan 28,000 borang penjualan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan 24,000 permohonan menyatakan berminat untuk membeli dan 15,000 daripada permohonan itu sudah diproses.
"Walaupun Perdana Menteri sudah mengumumkan penjualan 47,000 rumah di dalam bandar, ada rumah-rumah yang belum diserahkan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Daripada maklum balas yang kami terima, 85 peratus daripada penyewa PPR kini berminat untuk membeli," katanya.
Masalah setinggan pula, katanya, di Kuala Lumpur sahaja terdapat lebih kurang 5,000 setinggan di tanah kerajaan dan lebih kurang jumlah yang sama setinggan yang ada di tanah swasta. Setinggan di sekitar Kuala Lumpur masih banyak di sekitar Jinjang, Kepong, Cheras dan Kampung Pandan.
"Saya hendak tekankan di sini bahawa setinggan sifar ialah sebagai satu sasaran tetapi sasaran utama adalah bagi mereka yang duduk di kawasan setinggan itu berpuas hati dan boleh menerima pemindahan mereka," katanya.
Beliau tidak mahu jika paksaan dilakukan, maka ramai penduduk setinggan membuat protes sedangkan matlamat sebenar kerajaan ialah memberi keselesaan kepada mereka.
Mengenai penjaja, Raja Nong Chik berkata dasar penjaja akan dikeluarkan dengan penguatkuasaan telus dilakukan bagi menjadikan penjaja sebagai profesion yang terhormat.
Beliau berkata penjaja merupakan komuniti yang besar di Kuala Lumpur dengan 50,000 penjaja yang berdaftar dengan kementerian dan berkemungkinan terdapat lebih 50,000 lagi penjaja yang tidak berdaftar sama ada berniaga sepenuh masa atau separuh masa.
"Jika peluang ini diberi kepada penjaja, akhirnya akan memberi peluang kepada mereka ini menjana pendapatan terutama kepada mereka yang tidak ada pekerjaan lain," katanya.
Raja Nong Chik berkata 'P' terakhir yang mewakili prihatin, penting supaya semua semua warga kementerian ingat tentang perkara itu semasa menjalankan tugas masing-masing.
"Jangan nanti sebab itu tugas kita, tapi akhirnya rakyat tidak berpuas hati. Contohnya ada yang hendak robohkan rumah setinggan dan kita tidak fikirkan tentang mana mereka hendak dipindahkan atau dengan cara mana... Kalau nampak mereka ini perlukan pembelaan, kita kena cari jalan untuk membela mereka," katanya.
Beliau berkata kerana keprihatinan itulah yang menyebabkan beliau membesarkan skop Yayasan Wilayah Persekutuan bagi membantu warga kota.
"Selalunya masa yang lebih panjang perlu diambil jika mengikut prosedur kerajaan dalam membantu mangsa kebakaran, banjir atau orang sakit. Oleh kerana itu kami mencari jalan untuk membantu dengan cepat menerusi yayasan itu dan sekarang dengan hanya dalam masa 12 jam, kami sudah boleh memberikan bantuan terus kepada warga kota yang berada dalam kesusahan," katanya.
Katanya sebelum ini beliau sendiri pernah melalui pengalaman pahit apabila perlu naik turun ke DBKL hampir 50 kali untuk bantu penduduk setinggan di Kampung Pasir Lama yang kini dikenali sebagai Kampung Pasir Permata.
"Itu (tindakan) orang macam saya yang dikira ada jawatan tetapi macam mana pula dengan mereka yang baru berpindah dari kampung ke bandar. Siapa nak bela mereka ini kalau kita tidak prihatin?" soal beliau.
Mengenai pembangunan Kampung Baru pula, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan di Kampung Baru dijangka Februari ini bagi melihat sendiri keadaan di situ.
"Harap perkara ini (pembangunan Kampung Baru) boleh diteruskan kerana lagi lama pemilik tanah di Kampung Baru menunggu, maka lagi lamalah kerugian yang dihadapi mereka.
"Ini kerana nilai harta di Kampung Baru berbanding tanah di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) jauh berbeza. Saya haraplah masa saya jadi Menteri ini, bolehlah satu pendekatan dibuat supaya Kampung Baru dapat dimajukan," katanya.
Tidak cukup dengan Falsafah 7P, Raja Nong Chik yang merupakan seorang menteri yang aktif, turut menggunakan blog dan laman sosial Facebook sebagai platform dalam mendapatkan maklum balas rakyat.
Sementara itu, sempena Hari Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) Ke-36, Raja Nong Chik berharap sambutan pada kali ini memberi semangat baru kepada warga Wilayah Persekutuan untuk bekerjasama dengan kementerian, memperbaiki dan membangunkan Wilayah Persekutuan sambil mengurangkan isu politik.
"Kita perlu tumpukan bagaimana hendak bekerjasama dan menaikkan kemudahan yang kita ada supaya bertaraf dunia, menjaga nilai-nilai kebersihan, tidak membuang sampah merata-rata dan tidak boleh letak kereta ikut suka," katanya. - Bernama
Browse: Home > Perspektif > Prihatin Masalah Warga Kota.
Senin, 01 Februari 2010
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar