MELIHAT pada tajuknya saja pasti ramai yang dapat meneka bahawa kisah yang melatari telemovie, Cikgu Badar ini lebih menjurus kepada golongan pendidik.
Namun, ada kelainan yang cuba ditampilkan dalam telemovie ini.
Diterbitkan oleh Nafalia Corporation Sdn. Bhd., telemovie arahan Heykal Hanafiah itu sebenarnya cuba menyingkap kehidupan dan semangat seorang guru besar yang baru bersara.
Kisahnya berkisar tentang Cikgu Badar yang berhasrat pulang ke kampung demi menyumbang bakti dan berkhidmat kepada masyarakat kerana jiwa dan naluri seorang pendidik senantiasa menguasai dirinya.
Namun, bertahankah semangat juang Cikgu Badar itu apabila dia mendapat tentangan daripada pelbagai pihak terutamanya samseng di kampung tersebut, iaitu Zek?
Barisan pelakon yang menjayakan telemovie ini ialah Datuk Jalaludin Hassan, Liza Othman, Tania Zara, Fizo Omar, Faizal Yusof, Munif Isa dan Fathil Dani.
Pengarahnya ketika ditemui di salah sebuah lokasi penggambaran di Ulu Yam, Selangor baru-baru ini memberitahu, terdapat tiga mesej yang cuba disampaikan menerusi telemovie Cikgu Badar, iaitu semangat juang seorang bekas pendidik, gejala dadah dan kehidupan masyarakat kampung.
Selain Ulu Yam, lokasi lain yang turut menjadi pilihan penggambaran ialah Hulu Langat dan Kuang, Selangor.
"Ini kali pertama cerita yang saya lihat ada kelainan berbanding cerita-cerita yang pernah saya arahkan sebelum ini. Sselalunya saya lebih banyak mengarah kisah-kisah cinta ataupun komedi romantik.
"Apabila dapat sahaja skrip untuk cerita ini saya terus memikirkan perkara menarik yang boleh saya muatkan supaya ia bersesuaian dengan kehendak TV3 dan jalan ceritanya tidak terlalu meleret," katanya.
Heykal juga mengolah semula hampir 25 peratus daripada skrip asal cerita tersebut.
Menimbulkan jalan cerita yang lebih dramatik, konflik sengaja ditambah antara Cikgu Badar dengan seorang pemuda di kampungnya, iaitu Zek serta kedegilan anak perempuannya sendiri, Amy yang sudah terbiasa dengan kehidupan bandar.
Heykal sebelum ini pernah mengarahkan beberapa buah telemovie dan siri termasuk Terlerai Tabir Kasih, Cinta Untuk Ain yang yang terbaru mendapat perhatian ramai ialah Cinta Balkis.
Keluarga sebagai ilham
Bagi pelakon Jalaludin, yang sudah berpengalaman lebih 20 tahun dalam lakonan, mudah sahaja menjiwai pelbagai watak yang diberikan.
Namun, melakonkan watak seorang bekas pendidik yang menghabiskan sisa-sisa usianya dengan berbakti kepada masyarakat kampung bukanlah sesuatu yang mudah.
Menurut beliau, individu bergelar guru senantiasa menjadi contoh dan perhatian masyarakat.
"Maka, setiap perlakuan dan perwatakan perlu diseimbangkan bersesuaian dengan karakter seorang pendidik yang sentiasa menjadi contoh kepada orang ramai.
"Untuk meyakinkan penonton dengan apa yang kita lakonkan bukannya senang.
"Sama ada kita mampu menyampaikan mesej drama ini atau tidak. Apa yang penting saya menganggap lakonan sebagai salah satu dakwah untuk saya," katanya.
Merujuk kepada ahli keluarga malah, ayahnya sendiri yang merupakan golongan pendidik, gambaran tentang gaya percakapan, sosok seorang pendidik itu sudah ada jelas dalam kepalanya.
Cikgu Badar sekali lagi menemukan beliau dengan pasangan lakonannya Liza Othman.
Liza melakonkan watak Samsiah, isteri kepada Cikgu Badar yang sentiasa memberi sokongan terhadap segala yang dilakukan oleh suaminya.
Liza yang ditemui di lokasi yang sama menceritakan, melakonkan watak warga emas bukanlah sesuatu yang mencabar. Sementelah pula dia telah banyak didedahkan dengan watak seorang isteri dan ibu dalam kebanyakan drama lakonannya sebelum ini.
"Saya lebih banyak melihat kepada persekitaran, jiran-jiran dan mereka yang berada di sekeliling saya.
"Bayangkan diri saya adalah Samsiah yang sebenar walaupun tidak 100 peratus.
"Mungkin kalau ada beza sekalipun hanyalah dari segi teknikal dan cara kerja. Berbanding dahulu, kini saya lihat cara kerja lebih tersusun," kata ibu kepada tujuh anak berusia sembilan hingga 20 tahun itu.
Liza diawal kemunculannya lebih banyak terlibat dengan teater malah, pernah melakonkan watak utama dalam filem Mat Gelap.
Browse: Home > Perspektif > Kisah Seorang Pendidik, Sebuah Film yang Mungkin Layak Disaksikan..
Selasa, 02 Februari 2010
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar