Apa pula nih..??? he he he
KUALA LUMPUR 28 Mei - Pengarah Akademi Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi mendakwa amalan menghendap dalam tatacara kerja penguat kuasa agama yang dilaksanakan sekarang mendorong mereka ke arah rasuah seks.
Beliau pernah membuat kajian pada awal 1990-an tentang isu itu terhadap dua kes yang berlainan dan mendapati cara kerja yang dilaksanakan sekarang mendorong kumpulan penguat kuasa melakukan hubungan seks dengan mereka yang ditangkap.
Menurut beliau, proses menghendap adalah dilarang di dalam Islam kerana ia boleh mendatangkan kesan yang negatif kepada mereka yang melakukan perkara itu tidak kira sama ada yang mempunyai latar belakang agama yang kuat atau sebaliknya.
''Islam melarang umat-umatnya menghendap dan mungkin disebabkan mereka (penguat kuasa agama) sering menghendap menyebabkan mereka terdorong melakukan hubungan seks secara haram. Saya percaya inilah puncanya,'' kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Zaki Husin mengenai kes rasuah seks yang melibatkan kalangan anggota-anggota penguat kuasa jabatan agama Islam negeri-negeri semakin meningkat kebelakangan ini.
Ahmad Zaki berkata, BPR merekodkan 44 kes seumpama itu sejak 10 tahun lalu namun beliau percaya banyak lagi kes yang tidak dilaporkan.
Oleh itu Dr. Mahmood berkata, satu tatacara kerja yang lebih sesuai perlu dilaksanakan supaya gejala itu dapat dihentikan segera.
''Dalam Islam ada prosedurnya yang lebih sesuai maka ulama dan cendekiawan Islam harus berperanan dalam hal ini.
''Kajian semula dan perbincangan ini penting kerana dengan jalan itu sahaja dapat memastikan pegawai penguat kuasa dapat melaksanakan tugasnya dengan lebih profesional dan tidak terdorong dengan kehendak nafsu,'' katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kedah, Datuk Paduka Sheikh Abdul Majid Mohd. Noor menggesa pihak berkuasa agama negeri-negeri memperketatkan syarat pengambilan pegawai penguat kuasa agama bagi membersihkan jabatan itu daripada amalan rasuah seks dan wang.
Katanya, mereka yang dipilih perlu mempunyai latar belakang pendidikan agama yang mantap kerana suasana kerja yang akan mereka lalui setiap hari terdedah dengan maksiat.
''Saya percaya mereka yang tidak mempunyai asas pengetahuan agama yang kukuh cenderung untuk melakukan maksiat berdasarkan cara bekerja yang dilalui oleh mereka setiap hari.
''Jadi, kita perlu ketatkan lagi pengambilan pegawai penguat kuasa kerana sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, maruah yang akan tercemar ialah jabatan agama itu sendiri,'' katanya.
Menurut Sheikh Abdul Majid, gejala rasuah seks yang telah mula menular di kalangan pegawai penguat kuasa agama adalah sesuatu yang amat mengecewakan dan memalukan umat Islam keseluruhannya.
''Perlakuan mereka sesuai dengan pepatah Melayu 'harapkan pagar pagar makan padi'. Mereka membawa imej Islam sebagai pembanteras maksiat tetapi apa yang berlaku, mereka sendiri melakukan maksiat,'' katanya lagi.
Justeru beliau meminta semua jabatan agama membuat pemantauan terhadap isu tersebut.
''Jika perkara ini tidak dibendung sehingga peringkat akar umbi maruah Islam akan tercemar,'' tambahnya.
Menteri Besar Pahang Datuk Adnan Yaakub dalam reaksinya berkata, beliau sedih dan kecewa dengan gejala itu apatah lagi melibatkan pegawai dan kakitangan jabatan penguatkuasa agama.
''Saya sedih kerana 'harapkan pagar, pagar makan padi' maka kita perlu memilih pagar yang dapat menjalankan amanah dengan baik,'' jelasnya di sini hari ini.
Menurut beliau, salah satu caranya ialah meneliti setiap permohonan terutama latar belakang mereka sewaktu temu duga dan bukan sekadar kelayakan akademik semata-mata.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar